Lompat ke kandungan

Transfusi Darah​—Pandangan Doktor Sekarang

Transfusi Darah​—Pandangan Doktor Sekarang

Selama puluhan tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah dikritik kerana menolak transfusi darah. Keputusan mereka yang berdasarkan prinsip Bible untuk menjauhi darah kadangkala bertentangan dengan pandangan doktor yang berpendapat bahawa transfusi darah dapat membantu pesakit mereka.​—Kisah 15:29.

Namun, semakin ramai pakar perubatan menunjukkan sebab-sebab yang kukuh untuk menggunakan kaedah rawatan tanpa transfusi darah.

Pada awal tahun 2013, jurnal Stanford Medicine Magazine yang diterbitkan oleh Sekolah Perubatan Universiti Stanford mengandungi laporan khas mengenai darah. Laporan tersebut mengandungi bahagian yang bertajuk “Against the Flow​—What’s Behind the Decline in Blood Transfusions?” (Menentang Arus—Mengapakah Sesetengah Orang Menolak Transfusi Darah?) Pengarangnya, Sarah C. P. Williams menyatakan, “Selama puluhan tahun, hasil penyelidikan menunjukkan bahawa hospital di serata dunia sering menggunakan darah yang didermakan semasa pembedahan ataupun dalam wad hospital. Selain itu, kuantiti darah yang digunakan lebih banyak daripada yang diperlukan oleh pesakit.”

Sarah C. P. Williams juga memetik kata-kata Patricia Ford, M.D., pengasas dan pengarah bagi sebuah pusat perubatan dan pembedahan tanpa darah di Hospital Pennsylvania. Dr. Ford berkata, “Kebanyakan doktor menganggap bahawa hanya darah yang dapat menyelamatkan nyawa dan orang akan mati jika tahap darah menjadi rendah . . . Hal ini benar dalam situasi tertentu. a Tetapi situasi kebanyakan pesakit tidaklah sedemikian.”

Dr. Ford, yang merawat sekitar 700 orang Saksi-Saksi Yehuwa setiap tahun, juga berkata, “Ramai doktor . . . mempunyai pandangan yang salah bahawa para pesakit pasti mati jika tidak menerima darah . . . Saya juga pernah mempunyai pandangan seperti itu. Tetapi, kemudian saya mendapati bahawa terdapat kaedah lain untuk merawat pesakit.”

Pada Ogos 2012, jurnal Archives of Internal Medicine melaporkan hasil kajian yang dilakukan selama 28 tahun mengenai pesakit yang menjalani pembedahan jantung. Kajian menunjukkan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa lebih cepat sembuh berbanding dengan pesakit yang menerima transfusi darah. Keadaan para Saksi sewaktu di hospital lebih baik dan mereka lebih cepat sembuh berbanding dengan pesakit yang menerima transfusi darah. Keadaan mereka selepas 20 tahun adalah sama baik dengan pesakit yang menerima transfusi darah.

Sebuah rencana dalam The Wall Street Journal yang diterbitkan pada 8 April 2013 menyatakan, “Selama bertahun-bertahun, pesakit yang menolak transfusi darah disebabkan oleh hal keagamaan telah menerima pembedahan tanpa menggunakan darah. Sekarang, semakin banyak hospital mengamalkan cara ini . . . Pakar bedah yang menyokong pembedahan tanpa darah menyatakan bahawa kaedah ini bukan sahaja menjimatkan kos untuk membeli, menyimpan, memproses, menguji, dan menjalankan transfusi darah, malah dapat mengurangkan risiko jangkitan daripada transfusi darah dan masalah lain yang menyebabkan pesakit perlu tinggal lebih lama di hospital.”

Robert Lorenz, pengarah perubatan bahagian pengurusan darah di Klinik Cleveland berkata, “Anda mungkin fikir bahawa transfusi darah dapat membantu pesakit . . . Tetapi, kesan jangka panjang menunjukkan bahawa hal ini tidak benar.”

a Untuk mengetahui pandangan Saksi-Saksi Yehuwa mengenai darah, sila lihat rencana “Soalan Lazim—Mengapakah Saksi-Saksi Yehuwa Tidak Menerima Transfusi Darah?