Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | PERKAHWINAN

Pandangan Positif tentang Sifat yang Menjengkelkan

Pandangan Positif tentang Sifat yang Menjengkelkan
  •   Anda suka buat sesuatu tanpa dirancang. Pasangan anda pula selalu pastikan semuanya dirancang.

  •   Anda seorang yang pendiam dan tidak suka bergaul. Pasangan anda pula sangat peramah dan suka bergaul.

 Adakah pasangan anda mempunyai sifat yang menjengkelkan? Jika anda terlalu fokus pada hal itu, perkahwinan anda akan terjejas. Bible berkata, “Orang yang asyik mengungkit kesalahan memutuskan persahabatan.”—Amsal 17:9.

 Daripada membenarkan sifat yang menjengkelkan itu menyebabkan masalah antara anda dengan pasangan anda, belajarlah untuk memandang sifat itu dalam cara yang positif.

Dalam rencana ini

 Pandangan yang positif tentang sifat yang menjengkelkan

 Sikap pasangan anda yang menjengkelkan mungkin berkaitan dengan sifat yang anda suka. Perhatikan tiga contoh berikut:

 “Suami saya selalu lambat apabila menyiapkan suatu kerja atau apabila bersiap sedia untuk keluar. Namun, sifat itu menjadikannya seorang yang penyabar, bahkan dengan saya. Ada kalanya, sifat dia yang lambat menjengkelkan saya, tapi hal itu juga yang membuat saya mencintainya.”—Chelsea.

 “Isteri saya sangat teliti semasa membuat rancangan. Dia suka pastikan semuanya teratur, dan hal ini menjengkelkan saya. Tapi, sikapnya itu membuatkan dia selalu bersedia untuk melaksanakan rancangannya.”—Christopher.

 “Kadang-kadang, suami saya bersikap acuh tak acuh, dan hal ini mengecewakan saya. Tapi pada mulanya, sikapnya yang santailah yang telah membuat saya tertarik kepadanya. Saya suka kebolehannya untuk tetap tenang walaupun dalam situasi yang tertekan.”—Danielle.

 Seperti yang disedari oleh Chelsea, Christopher, dan Danielle, kelemahan dan kekuatan pasangan kita biasanya merupakan sebahagian daripada sifat yang sama. Jika kelemahan pasangan anda disingkirkan, kekuatannya pun akan tersingkir. Hal ini sama seperti mencuba menyingkirkan hanya satu belah bahagian duit syiling.

 Memang benar, sesetengah sifat tidak mempunyai bahagian yang positif. Contohnya, Bible berkata bahawa sesetengah orang “cepat marah.” (Amsal 29:22) Orang sedemikian harus berusaha sedaya upaya untuk membuang ‘segala rasa dendam yang membara, kemarahan, perasaan berang, jeritan, dan kata-kata hinaan.’ aEfesus 4:31.

 Namun jika sifat itu hanya membuat anda berasa jengkel, ikutlah nasihat Bible: “Teruslah bersabar terhadap satu sama lain . . . biarpun kamu ada alasan untuk berasa tersinggung.”—Kolose 3:13.

Selain itu, cubalah mencari bahagian yang positif dalam sifat itu.  Barangkali, sifat itulah yang telah membuat anda tertarik dengan pasangan anda pada mulanya. Seorang suami yang bernama Joseph berkata, “Jika kita hanya bertumpu pada sifat yang menjengkelkan, hal itu seperti hanya melihat bucu yang tajam pada berlian, tetapi tidak melihat dan menghargai kecantikannya.”

 Hal yang boleh dibincangkan

 Mula-mula, cuba fikirkan soalan-soalan berikut secara berasingan. Kemudian, anda berdua boleh membincangkan jawapan anda.

  •   Adakah anda berasa bahawa pasangan anda mempunyai sifat yang menjadi punca masalah dalam perkahwinan anda? Jika ya, apakah sifat itu?

  •   Adakah sifat itu buruk, atau hanya menjengkelkan?

  •   Adakah terdapat bahagian yang positif dalam sifat itu? Jika ya, apakah bahagian yang positif itu, dan mengapakah anda menghargai aspek itu dalam keperibadian pasangan anda?