Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menghadapi Putus Cinta?

Bagaimanakah Saya Dapat Menghadapi Putus Cinta?

 “Selepas saya dan girlfriend saya berpisah, hati saya remuk. Seumur hidup saya, saya tidak pernah rasa begitu hancur sekali,” kata Steven.

 Pernahkah anda mengalami situasi sebegini? Jika ya, rencana ini dapat membantu anda.

 Perasaan putus cinta

 Jika perpisahan berlaku, kedua-dua pihak akan berasa sakit hati.

  •   Jika anda yang memutuskan hubungan dengan seseorang, mungkin anda berasa seperti Jasmine: “Saya telah melukai hati orang yang pernah saya kasihi, dan hal ini membuat hati nurani saya terganggu. Saya harap saya tidak perlu menghadapi situasi ini lagi.”

  •   Bagaimana pula jika yang memutuskan hubungan itu bukan anda? Mungkin anda memahami perasaan sesetengah orang yang berkata bahawa pengalaman itu sama seperti apabila orang yang tersayang meninggal. Janet berkata, “Saya seperti berkabung. Mula-mula, saya tidak dapat menerima hakikat. Saya masih menaruh harapan dan mencuba menyelamatkan hubungan itu. Saya juga marah dan begitu kecewa. Akhirnya selepas hampir setahun, barulah saya dapat menerima apa yang sudah berlaku.”

 Hakikatnya: Selepas putus cinta, anda akan berasa sangat tawar hati dan putus harapan. Seorang penulis Bible berkata, “Hati yang sedih melemahkan semangat.”​—Amsal 17:22.

 Apa yang boleh dilakukan

  •  Cakaplah kepada orang yang matang. Bible berkata, ‘Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan saling menanggung kesusahan.’ (Amsal 17:17) Curahkanlah isi hati anda kepada ibu bapa atau sahabat yang matang. Mereka dapat membantu anda mempunyai pandangan yang betul tentang situasi anda.

     “Selama berbulan-bulan, saya mengasingkan diri. Saya tidak beritahu sesiapa pun tentang perasaan saya. Tetapi, sahabat dapat membantu mengubati luka dalam hati. Apabila saya mula meluahkan perasaan saya, barulah saya berasa lega.”​—Janet.

  •  Belajarlah daripada pengalaman. Bible juga berkata, “Hendaklah kamu bijak.” (Amsal 4:5) Pengalaman yang kurang menyenangkan dapat membantu kita mengenali diri dan menghadapi kekecewaan dalam hidup.

     “Selepas berpisah, seorang kawan tanya saya tentang apa yang saya belajar daripada pengalaman itu, dan bagaimana hal itu dapat bantu saya apabila berdating pada masa depan.”​—Steven.

  •  Doa. Bible menyatakan: ‘Serahkanlah kekhuatiranmu kepada Yehuwa, maka Dia akan membela kamu.’ (Mazmur 55:23) Doa dapat membantu anda menangani kesedihan akibat putus cinta dan membantu anda memiliki pandangan yang betul.

     “Berdoalah selalu. Yehuwa lebih memahami kepedihan dan situasi kita daripada diri kita sendiri.”​—Marcia.

  •  Bantulah orang lain. “Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.” (Filipi 2:4) Semakin banyak anda menghulurkan bantuan kepada orang lain, semakin cepat anda memperoleh pandangan yang seimbang.

     “Apabila putus cinta, saya rasa itu akhir segala-galanya. Hati yang dilukai lebih teruk daripada badan yang terluka. Namun dengan berlalunya masa, saya sedar keadaan saya bertambah baik. Saya perlu membiarkan masa mengubati rasa sakit yang saya alami.”​—Evelyn.