Lompat ke kandungan

Apakah Itu Yerusalem Baharu?

Apakah Itu Yerusalem Baharu?

Jawapan Bible

 Ungkapan “Yerusalem baharu” yang muncul dua kali dalam Bible merupakan sebuah kota simbolik yang melambangkan kumpulan pengikut Yesus yang pergi ke syurga untuk memerintah bersamanya dalam Kerajaan Tuhan. (Wahyu 3:​12; 21:2) Bible menunjukkan bahawa kumpulan ini juga boleh disebut sebagai pengantin perempuan Kristus.

Penjelasan tentang Yerusalem Baharu

  1.   Yerusalem Baharu terletak di syurga. Setiap kali Bible menyebut tentang Yerusalem Baharu, Bible beritahu kita bahawa kota suci itu turun dari syurga, dan pintu-pintu gerbang kota itu dikawal oleh para malaikat. (Wahyu 3:​12; 21:​2, 10, 12) Saiz kota itu yang begitu besar juga membuktikan bahawa kota itu tidak mungkin terletak di bumi. Kota itu berbentuk kubus, dan ukuran perimeternya “kira-kira 2,220 kilometer.” (Wahyu 21:16) Ketinggiannya yang hampir 560 kilometer akan menjulang ke angkasa lepas.

  2.   Yerusalem Baharu terdiri daripada sekumpulan pengikut Yesus, iaitu pengantin Kristus. Yerusalem Baharu digelar sebagai “pengantin perempuan, iaitu bakal isteri Anak Bebiri.” (Wahyu 21:​9, 10) Anak Bebiri merujuk kepada Yesus Kristus. (Yohanes 1:​29; Wahyu 5:​12) “Isteri Anak Bebiri”, iaitu pengantin Kristus, merujuk kepada orang Kristian yang akan bersatu dengan Yesus di syurga. Bible menyamakan hubungan antara Yesus dan kumpulan orang Kristian ini sebagai suami dan isteri. (2 Korintus 11:2; Efesus 5:​23-​25) Tambahan pula, pada batu-batu asas Yerusalem Baharu “tertulis 12 nama, iaitu nama 12 orang rasul Anak Bebiri.” (Wahyu 21:14) Butiran ini membantu kita untuk mengenal pasti identiti Yerusalem Baharu, kerana “para rasul dan para nabi ialah asas” bagi orang Kristian yang pergi ke syurga.​—Efesus 2:​20.

  3.   Yerusalem Baharu merupakan sebahagian daripada sebuah kerajaan. Yerusalem kuno ialah ibu negara Israel, di mana Raja Daud, anaknya Salomo, dan keturunan mereka memerintah “di atas takhta Yehuwa.” (1 Tawarikh 29:23) Oleh itu, Yerusalem, yang digelar sebagai “kota suci itu”, melambangkan pemerintahan Tuhan menerusi keturunan Daud. (Nehemia 11:1) Yerusalem Baharu, yang juga dikenali sebagai “kota suci itu,” terdiri daripada mereka yang akan “memerintah sebagai raja atas bumi” bersama Yesus di syurga.​—Wahyu 5:​9, 10; 21:2.

  4.   Yerusalem Baharu membawa berkat kepada manusia di bumi. Yerusalem Baharu dikatakan “turun dari syurga daripada Tuhan.” Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan menggunakannya untuk melaksanakan kehendak-Nya di bumi. (Wahyu 21:2) Ungkapan ini mengaitkan Yerusalem Baharu dengan Kerajaan Tuhan, yang digunakan oleh Tuhan untuk melaksanakan tujuan-Nya “di bumi seperti di syurga.” (Matius 6:​10) Tujuan Tuhan bagi manusia di bumi termasuk berkat-berkat berikut:

    •   Dosa dihapuskan. “Sungai air kehidupan” mengalir dari Yerusalem Baharu dan menampung “pokok-pokok kehidupan” yang “dapat menyembuhkan bangsa-bangsa.” (Wahyu 22:​1, 2) Penyembuhan jasmani dan rohani ini akan menghapuskan dosa dan membolehkan manusia untuk menikmati kehidupan yang sempurna, sepertimana yang diinginkan oleh Tuhan pada asalnya.​—Roma 8:​21.

    •   Hubungan yang baik antara Tuhan dan manusia. Dosa telah mengasingkan kita daripada Tuhan. (Yesaya 59:2) Setelah dosa dihapuskan, nubuat ini akan digenapi dengan sepenuhnya: “Tuhan ada bersama manusia, dan Dia akan tinggal bersama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Tuhan sendiri akan menyertai mereka.”​—Wahyu 21:3.

    •   Tiada lagi penderitaan dan kematian. Melalui Kerajaan-Nya, Tuhan “akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.”​—Wahyu 21:4.