Lompat ke kandungan

Mengapakah Yesus Dipanggil Anak Tuhan?

Mengapakah Yesus Dipanggil Anak Tuhan?

Jawapan Bible

 Dalam Bible, Yesus dipanggil “Anak Tuhan.” (Yohanes 1:49) Ungkapan “Anak Tuhan” menunjukkan bahawa Tuhan ialah Pencipta, atau Sumber segala kehidupan, termasuk kehidupan Yesus. (Mazmur 36:9; Wahyu 4:11) Bible tidak mengajar kita bahawa Tuhan mempunyai seorang isteri yang melahirkan anak untuk-Nya.

 Bible juga memanggil para malaikat sebagai “anak-anak Tuhan.” (Ayub 1:6, nota kaki) Selain itu, Bible menyatakan bahawa Adam ialah seorang “anak Tuhan.” (Lukas 3:38) Namun, hanya Yesus yang dipanggil Anak tunggal Tuhan kerana dia ialah ciptaan Tuhan yang pertama dan satu-satunya makhluk yang diciptakan oleh Yehuwa sendiri.

 Adakah Yesus hidup di syurga sebelum dia turun ke bumi?

 Ya. Yesus ialah makhluk roh di syurga sebelum dia dilahirkan sebagai manusia di bumi. Yesus sendiri berkata, “Aku turun dari syurga.”—Yohanes 6:38; 8:23.

 Tuhan menciptakan Yesus sebelum Dia menciptakan segala-galanya. Berkenaan Yesus, Bible menyatakan:

  •   ‘Anak itu merupakan anak sulung antara semua ciptaan.’—Kolose 1:15.

  •   Dia ialah “ciptaan Tuhan yang pertama.”—Wahyu 3:14.

 Nubuat di Mikha menyatakan bahawa Yesus “berasal dari zaman purba, dari zaman dahulu.”—Mikha 5:2; Matius 2:4-6.

 Apakah yang dilakukan oleh Yesus sebelum dia turun ke bumi?

 Dia mempunyai kedudukan yang tinggi di syurga. Yesus merujuk kepada kedudukannya itu semasa dia berdoa, ‘Ya Bapa, biarlah aku dimuliakan dengan kemuliaan yang aku miliki di sisi-Mu sebelum dunia ada.’—Yohanes 17:5.

 Dia membantu Bapanya untuk menciptakan segala sesuatu. Yesus berada di samping Tuhan “sebagai jurubina yang mahir.” (Amsal 8:30) Berkenaan Yesus, Bible menyatakan, “Segala sesuatu yang lain diciptakan melalui dia, baik yang di syurga mahupun yang di bumi.”—Kolose 1:16.

 Melalui Yesus, Tuhan telah menciptakan segala sesuatu. Hal ini merangkumi semua makhluk roh yang lain dan alam semesta. (Wahyu 5:11) Apa yang dilakukan oleh Tuhan dan Yesus dapat dijelaskan dengan menggunakan perumpamaan seorang arkitek dan seorang jurubina. Arkitek bertanggungjawab membuat pelan bangunan dan jurubina akan membina apa yang dirancang.

 Dia dipanggil Firman. Sebelum Yesus turun ke bumi, dia dipanggil “Firman.” (Yohanes 1:1) Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan telah menggunakan Anak-Nya untuk menyampaikan maklumat dan arahan-Nya kepada makhluk roh yang lain.

 Yesus juga ialah Jurucakap yang diutus oleh Tuhan kepada manusia di bumi. Barangkali Tuhan telah bercakap melalui Yesus sebagai Firman semasa memberikan arahan kepada Adam dan Hawa di Taman Eden. (Kejadian 2:16, 17) Yesus juga mungkin ialah malaikat yang telah membimbing orang Israel kuno semasa mereka berada di padang belantara. Tuhan menyuruh mereka untuk mematuhi arahan malaikat itu dengan bersungguh-sungguh.—Keluaran 23:20-23. a

a Yesus bukanlah satu-satunya malaikat yang digunakan oleh Tuhan sebagai jurucakap-Nya. Sebagai contoh, malaikat lain digunakan untuk menyampaikan Hukum Musa kepada orang Israel kuno.—Kisah 7:53; Galatia 3:19; Ibrani 2:2, 3.