Lompat ke kandungan

31 OKTOBER 2019
INDIA

Saksi-Saksi Yehuwa Mengeluarkan Bible dalam Bahasa Telugu di India

Saksi-Saksi Yehuwa Mengeluarkan Bible dalam Bahasa Telugu di India

Pada 25 Oktober 2019, Saudara Ashok Patel, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan India, telah mengumumkan pengeluaran Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Telugu, semasa konvensyen serantau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Hyderabad di Hyderabad, India.

Menurut anggaran, terdapat 91.9 juta orang yang berbahasa Telugu. Di India, bahasa Telugu merupakan bahasa yang ketiga paling banyak dituturkan selepas bahasa Hindi dan Bengali. Kini, terdapat kira-kira 6,000 orang penyiar yang berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa Telugu, tetapi jumlah hadirin semasa konvensyen mencecah 8,868 orang. Dalam masa setahun ini, dua litar baharu telah ditubuhkan. Semua bukti ini menunjukkan bahawa terdapat potensi untuk peningkatan bagi mereka yang mempelajari kebenaran dalam bahasa Telugu.

Projek penterjemahan Bible Telugu ini memakan masa selama lima tahun. Seorang penterjemah yang membantu projek tersebut menyatakan bahawa Bible Telugu yang lain menggunakan bahasa kuno dan perkataan yang susah difahami oleh kaum muda. Dia menambah, “Semasa kaum muda membaca terjemahan baharu ini, Yehuwa seolah-olah sedang bercakap kepada mereka dengan menggunakan bahasa moden yang dapat difahami dengan mudah.” Seorang penterjemah yang lain berkata, “Semasa kami membaca ayat-ayat Bible terjemahan baharu ini kepada orang dalam kerja penyebaran, mereka akan terus memahami maksudnya.”

Selain itu, memandangkan kebanyakan Bible Telugu telah mengeluarkan nama Tuhan, iaitu Yehuwa, dalam seluruh teks Bible, Terjemahan Dunia Baharu ini akan membantu pembaca bahasa Telugu untuk mengenali nama Tuhan Yang Maha Tinggi. Pembaca juga akan lebih memahami maksud asal istilah-istilah seperti jiwa dan roh, yang telah diterjemahkan dalam Bible Telugu lain menurut kepercayaan Hindu tempatan.

Seorang penyiar berkata, “Saya fikir Bible Telugu yang baharu ini akan membantu pembaca merasai betapa dalamnya kasih Yehuwa yang tidak pernah dirasai mereka sebelum ini!” Jelaslah bahawa terjemahan ini akan membantu pembaca bahasa Telugu untuk ‘rasakan sendiri betapa baiknya Yehuwa!’—Mazmur 34:8.