Lompat ke kandungan

Kiri atas: Para saudara mengendalikan mesin percetakan rotary di kemudahan Bethel, Numazu, Jepun, pada 1972. Kanan atas: Majalah pertama yang dicetak di cawangan Jepun. Bawah: Percetakan di Ebina, Jepun, hari ini

4 OKTOBER 2022
JEPUN

Lima Puluh Tahun Percetakan di Cawangan Jepun

Lima Puluh Tahun Percetakan di Cawangan Jepun

Tahun 2022 ialah tahun ke-50 sejak kita mula kerja percetakan di cawangan Jepun.

Antara tahun 1950 hingga 1970, saudara saudari di Jepun serta kira-kira 70 mubaligh menginjil dengan bersemangat. Hasilnya, jumlah penyiar meningkat dengan cepat. Oleh sebab terdapat keperluan yang meningkat bagi bahan bacaan Bible dalam bahasa Jepun, keputusan telah dibuat agar cawangan Jepun akan mula mencetak majalah Menara Pengawal dan Sedarlah!

Semasa Perhimpunan Antarabangsa “Kedamaian di Bumi” berlangsung di Tokyo pada Oktober 1969, Saudara Nathan H. Knorr mengumumkan bahawa cawangan baharu dengan kemudahan percetakan akan dibina di Numazu, yang terletak tidak jauh dari Gunung Fuji.

Para saudara menyediakan plat percetakan di kemudahan Bethel, Numazu, Jepun

Pembinaan bermula pada Januari 1972. Sehingga 15 Ogos 1972, para pekerja telah memasang mesin percetakan rotary yang besar serta mesin-mesin lain untuk menghasilkan majalah-majalah itu. Majalah pertama yang dicetak di cawangan baharu ialah Sedarlah! terbitan 8 Oktober 1972, dalam bahasa Jepun. Seorang saudara yang pernah bekerja di bahagian percetakan kata, “Saya begitu gembira sehingga menitiskan air mata semasa melihat begitu banyak kotak yang dipenuhi dengan majalah yang baru sahaja dicetak dan sedia untuk dihantar.”

Pada 1982, cawangan Jepun berpindah ke kemudahan bangunan Bethel yang baru dibina di Ebina. Saiz kompleks itu adalah tiga kali lebih besar berbanding dengan di Numazu dan menggunakan mesin percetakan serta mesin-mesin lain yang lebih baharu dan cepat. Selain daripada majalah Menara Pengawal dan Sedarlah!, cawangan ini mula mencetak Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Mereka juga mula mencetak bahan bacaan Bible dalam lebih daripada 200 bahasa.

Foto terkini para saudara di Percetakan Ebina, Jepun, menetap semula aras dakwat mesin cetak MAN Roland Lithoman

Percetakan Jepun kini menghasilkan sebanyak 13.2 juta naskah Menara Pengawal dan Sedarlah! setiap bulan. Sejak 2013, cawangan ini telah mencetak lebih daripada 20 juta Bible, dalam lebih daripada 100 bahasa, dan menghantarnya ke lebih daripada 50 buah negara di serata dunia.

Pada 1972, terdapat kira-kira 13,000 penyiar di Jepun. Lima puluh tahun kemudian, angka itu telah meningkat. Pada 2022, terdapat lebih daripada 213,000 penyiar. Hati kita melonjak kegembiraan melihat bagaimana bahagian percetakan ini menyokong kerja penyebaran Kerajaan Tuhan di Jepun serta di seluruh dunia.—Matius 28:19, 20.