Lompat ke kandungan

Mahkamah Agung memihak kepada Saudara Nam Eon-woo (kiri), Saudara Lee Jeong-Hyeon (tengah), dan Saudara Nam Tae-hee (kanan), yang telah berkhidmat dalam tentera sebelum menjadi Saksi-Saksi Yehuwa dan kemudian menghadapi hukuman jenayah yang berterusan

3 MAC 2021
KOREA SELATAN

Keputusan Mahkamah Agung Korea Memihak Pembantah Ikut Nurani yang Menolak Latihan Tentera Simpanan

Keputusan Mahkamah Agung Korea Memihak Pembantah Ikut Nurani yang Menolak Latihan Tentera Simpanan

Pada 28 Januari 2021, Mahkamah Agung Korea Selatan memutuskan bahawa pembantahan terhadap latihan tentera simpanan berdasarkan hati nurani bukan suatu jenayah. Maka mulai sekarang, saudara-saudara yang pernah berkhidmat dalam tentera sebelum menjadi Saksi-Saksi Yehuwa tidak lagi menghadapi hukuman jenayah yang berterusan.

Dari masa ke masa, semua lelaki Korea Selatan yang telah menjalani khidmat tentera harus melaporkan diri untuk latihan tentera simpanan selama lapan tahun. Maksudnya, saudara-saudara kita yang pernah jadi askar akan diminta untuk menjalani latihan tentera simpanan dan dihukum berulang kali kerana menolak latihan tersebut. Contohnya, seorang saudara terpaksa menghadap polis, pendakwa raya, kes perbicaraan, dan rayuan di mahkamah sebanyak 60 kali dalam setahun.

Pada 2018, dua mahkamah tinggi Korea, iaitu Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung, memutuskan bahawa menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani bukan suatu jenayah, serta membuka jalan untuk mewujudkan khidmat awam alternatif. Namun tiada keputusan dibuat mengenai Akta Pasukan Simpanan yang merupakan dasar perundangan untuk menghukum mereka yang menolak latihan tentera simpanan disebabkan pegangan agama.

Tetapi kini, keputusan Mahkamah Agung telah mengesahkan bahawa pembantah ikut nurani berhak menolak latihan tentera simpanan. Banyak saudara telah tabah menghadapi tempoh perbicaraan yang panjang dan masih belum diselesaikan. Dengan keputusan ini, mereka sekarang boleh memohon khidmat awam alternatif dan bukan lagi didenda atau dipenjarakan. Saudara Nam Tae-hee, salah seorang defendan yang terlibat dalam keputusan kes ini, menjelaskan, “Setelah mengalami beberapa tuntutan mahkamah selama lapan tahun yang lalu, akhirnya hak saya telah dihormati dan disahkan. Saya rasa lega seolah-olah hilang beban berat yang ditanggung selama ini.”

Kita amat bersyukur kepada Yehuwa atas keputusan ini. Kita juga bersukacita bersama saudara-saudara Korea dan keluarga mereka yang telah “tabah menanggung kesusahan dan mengalami ketidakadilan kerana ingin mempunyai hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan!”—1 Petrus 2:19.