Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

A5

Nama Tuhan dalam Kitab Yunani Kristian

Para cendekiawan Bible mengakui bahawa nama peribadi Tuhan, yang diwakili oleh Tetragrammaton (יהוה), muncul hampir 7,000 kali dalam teks asal Kitab Ibrani. Tetapi ramai berpendapat bahawa nama itu tidak muncul dalam teks asal Kitab Yunani Kristian. Maka kebanyakan terjemahan Bible bahasa Inggeris zaman moden tidak menggunakan nama Yehuwa dalam Kitab Yunani Kristian. Ada yang bahkan menggunakan “Lord” (Tuan) dan bukannya nama peribadi Tuhan semasa menterjemahkan petikan ayat Kitab Ibrani yang mengandungi Tetragrammaton.

Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu tidak mengikut amalan ini. Sebaliknya, nama Yehuwa digunakan sebanyak 237 kali dalam Kitab Yunani Kristian. Keputusan ini dibuat berdasarkan dua fakta penting: (1) Naskhah-naskhah Yunani yang wujud hari ini bukanlah salinan asal. Kebanyakan daripada ribuan naskhah tersebut disalin sekurang-kurangnya dua abad selepas salinan asal dihasilkan. (2) Pada masa itu, para penyalin telah menggantikan Tetragrammaton dengan Kyʹri·os, iaitu perkataan Yunani untuk “Tuan.” Ada pula yang membuat salinan daripada naskhah yang sudah mengeluarkan nama Tuhan.

Jawatankuasa Terjemahan Bible Dunia Baharu menyimpulkan bahawa Tetragrammaton memang wujud dalam naskhah-naskhah Yunani yang asal. Kesimpulan itu dibuat berdasarkan bukti-bukti kukuh yang berikut:

  • Salinan Kitab Ibrani yang digunakan pada zaman Yesus dan para rasulnya mengandungi Tetragrammaton dalam seluruh teksnya. Dahulu, ada yang mempersoalkan hal itu. Tetapi kini, kebenarannya tidak dapat dipertikaikan lagi setelah salinan-salinan Kitab Ibrani dari abad pertama Masihi dan lebih awal lagi ditemui berhampiran Qumran.

  • Pada zaman Yesus dan para rasulnya, Tetragrammaton juga muncul dalam Septuagint, iaitu Kitab Ibrani yang diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani. Selama berabad-abad, para cendekiawan menyangka bahawa Tetragrammaton tidak wujud dalam naskhah-naskhah Septuagint Yunani. Tetapi pada pertengahan abad ke-20, mereka mendapati bahawa beberapa cebisan kuno Septuagint Yunani yang wujud pada zaman Yesus, mengandungi nama peribadi Tuhan dalam huruf Ibrani. Jadi pada zaman Yesus, nama Tuhan memang muncul dalam salinan Kitab Suci bahasa Yunani. Namun, menjelang abad keempat Masihi, naskhah Septuagint Yunani yang utama, seperti Kodeks Vatikanus dan Kodeks Sinaitikus, tidak lagi mengandungi nama Tuhan dalam buku Kejadian hingga Maleakhi (sedangkan naskhah-naskhah awal mengandunginya). Maka, tidaklah hairan bahawa dalam teks yang dipelihara sejak zaman itu, nama Tuhan tidak muncul dalam Kitab Yunani Kristian.

    Yesus berdoa, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada orang dari dunia ini. . . . Aku akan terus berbuatdemikian”

  • Kitab Yunani Kristian menyatakan bahawa Yesus sering menyebut dan mengumumkan nama Tuhan. Yesus berdoa kepada Tuhan, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada orang dari dunia ini,” dan “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian.”—Yohanes 17:6, 11, 12, 26.

  • Seperti Kitab Ibrani, Kitab Yunani Kristian ialah sebahagian daripada Firman yang diilhami Tuhan. Maka, tidak masuk akal jika nama Yehuwa tiba-tiba hilang daripada teksnya. Sekitar pertengahan abad pertama Masihi, Yakobus berkata kepada para penatua di Yerusalem, ‘Simeon telah menghuraikan bagaimana Tuhan memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya.’ (Kisah 15:14) Yakobus tentu tidak akan berkata sedemikian jika tiada sesiapa pun pada abad pertama yang mengetahui atau menggunakan nama Tuhan.

  • Nama Tuhan muncul dalam bentuk singkatan dalam Kitab Yunani Kristian. Dalam nota kaki di Wahyu 19:1, 3, 4, 6, nama Tuhan terkandung dalam perkataan “Halleluyah,” yang berasal daripada ungkapan Ibrani yang bererti “Pujilah Yah.” “Yah” ialah singkatan bagi Yehuwa. Selain itu, banyak nama dalam Kitab Yunani Kristian berasal daripada nama Tuhan. Contohnya, menurut karya-karya rujukan, nama Yesus bererti “Yehuwa ialah Penyelamatan.”

  • Tulisan-tulisan Yahudi yang awal menunjukkan bahawa orang Kristian Yahudi menggunakan nama Tuhan semasa menulis Kitab Yunani Kristian. Tosefta, iaitu koleksi hukum lisan orang Yahudi, yang disiapkan pada kira-kira 300 Masihi, menyebut tentang tulisan Kristian yang dibakar pada hari Sabat: “Buku-buku Penginjil dan buku-buku minim [mungkin merujuk kepada orang Kristian Yahudi] dibakar bersama bahagian-bahagian yang mengandungi Nama Tuhan.” Sumber ini juga memetik kata-kata Rabbi Yosé, orang Galilea yang hidup pada awal abad kedua Masihi. Dia berkata bahawa pada hari lain (iaitu selain hari Sabat), “orang akan memotong bahagian tulisan yang ada Nama Tuhan lalu menyimpannya, dan yang lain pula dibakar.”

  • Beberapa orang cendekiawan Bible mengakui bahawa ada kemungkinan besar nama Tuhan muncul dalam petikan ayat Kitab Ibrani yang terdapat dalam Kitab Yunani Kristian. Di bawah tajuk kecil “Tetragrammaton dalam Perjanjian Baharu,” The Anchor Bible Dictionary menyatakan, “Ada bukti bahawa semasa Perjanjian Baharu mula ditulis, Tetragrammaton, yang melambangkan Nama Tuhan, Yahweh, muncul dalam sesetengah atau semua petikan teks Perjanjian Lama yang terdapat dalam Perjanjian Baharu.” Cendekiawan yang bernama George Howard berkata, “Oleh sebab Tetragram masih ditulis dalam salinan Bible Yunani [Septuagint], yang merupakan Kitab Suci gereja masa awal, adalah munasabah untuk percaya bahawa semasa penulis Perjanjian Baharu memetik ayat daripada Kitab Suci [Septuagint], mereka tetap memelihara Tetragram.”

  • Para penterjemah Bible yang diiktiraf telah menggunakan nama Tuhan dalam Kitab Yunani Kristian. Ada yang berbuat demikian lama sebelum Terjemahan Dunia Baharu dihasilkan. Contohnya, A Literal Translation of the New Testament . . . From the Text of the Vatican Manuscript, oleh Herman Heinfetter (1863); The Emphatic Diaglott, oleh Benjamin Wilson (1864); The Epistles of Paul in Modern English, oleh George Barker Stevens (1898); St. Paul’s Epistle to the Romans, oleh W. G. Rutherford (1900); The New Testament Letters, oleh J.W.C. Wand, Uskup dari London (1946). Selain itu, dalam sebuah terjemahan Sepanyol pada awal abad ke-20, Pablo Besson menggunakan “Jehová” di Lukas 2:15 dan Yudas 14. Lebih daripada 100 kali dalam nota kaki Bible terjemahannya, dia menunjukkan bahawa nama Tuhan mungkin digunakan dalam teks utama. Lama sebelum terjemahan-terjemahan itu wujud, Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Ibrani, yang dihasilkan sejak abad ke-16, sudah menggunakan Tetragrammaton dalam banyak ayat. Dalam bahasa Jerman, sekurang-kurangnya 11 terjemahan menggunakan “Jehovah” (atau “Yahweh”) dalam Kitab Yunani Kristian, dan empat orang penterjemah yang lain meletakkan nama Tuhan dalam kurungan selepas gelaran “Tuan.” Lebih daripada 70 terjemahan Jerman menggunakan nama Tuhan dalam nota kaki atau ulasan.

    Nama Tuhan di Kisah 2:34 dalam The Emphatic Diaglott, oleh Benjamin Wilson (1864)

  • Kitab Yunani Kristian yang telah diterjemahkan dalam lebih daripada 100 bahasa mengandungi nama Tuhan. Nama Tuhan kerap digunakan dalam banyak terjemahan bahasa Afrika, Orang Asli Amerika, Asia, Eropah, dan kepulauan Pasifik. (Lihat senarai pada muka surat 2286 dan muka surat 2287.) Penterjemah edisi-edisi itu menggunakan nama Tuhan atas sebab-sebab yang serupa dengan apa yang telah dinyatakan. Beberapa terjemahan Kitab Yunani Kristian sebegini telah diterbitkan. Contohnya, Bible Rotuma (1999) menggunakan “Jihova” sebanyak 51 kali dalam 48 ayat, versi Batak (Toba) (1989) dari Indonesia menggunakan “Jahowa” sebanyak 110 kali, dan versi Indonesian Literal Translation (2008) menggunakan nama Tuhan “Yahweh” lebih daripada 180 kali dalam “Perjanjian Baharu.”

    Nama Tuhan di Markus 12:29, 30 dalam terjemahan bahasa Hawaii

Jelaslah, terdapat asas kukuh untuk mengembalikan nama Tuhan, Yehuwa, ke dalam Kitab Yunani Kristian. Itulah yang telah dilakukan para penterjemah Terjemahan Dunia Baharu yang sangat menghormati Tuhan dan nama-Nya. Mereka tidak mahu mengeluarkan apa-apa yang muncul dalam teks asal.—Wahyu 22:18, 19.