Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB 95

Ajaran tentang Perceraian dan Kerendahan Hati

Ajaran tentang Perceraian dan Kerendahan Hati

MATIUS 19:1-15 MARKUS 10:1-16 LUKAS 18:15-17

  • PANDANGAN TUHAN TERHADAP PERCERAIAN

  • HIDUP MEMBUJANG IALAH KURNIAAN

  • CONTOHI SIFAT KANAK-KANAK

Yesus dan murid-muridnya lalu di Perea. Sebelum ini, dia mengajar orang Farisi di situ tentang Hukum Tuhan berkenaan perceraian. (Lukas 16:18) Sekarang mereka mengungkit topik itu untuk menguji Yesus.

Menurut Hukum Musa, seorang wanita boleh diceraikan jika dia “melakukan sesuatu yang tidak senonoh.” (Ulangan 24:1) Maka ada pandangan yang berbeza tentang dasar perceraian. Ada yang percaya bahawa mereka boleh bercerai atas hal-hal yang kecil. Oleh itu, orang Farisi bertanya, “Adakah seseorang melanggar hukum jika dia menceraikan isterinya atas sebarang alasan?”​—Matius 19:3.

Daripada menanyakan pandangan orang lain, Yesus menghalakan perhatian mereka kepada pandangan Tuhan, iaitu Pengasas perkahwinan. Dia berkata, “Belum pernahkah kamu membaca bahawa Dia yang menciptakan manusia pada mulanya menciptakan lelaki dan perempuan? Belum pernahkah kamu membaca bahawa Dia juga berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya dan tinggal bersama isterinya, lalu mereka berdua akan menjadi satu’? Maka, mereka bukan lagi dua tetapi satu. Oleh itu, mereka yang telah disatukan oleh Tuhan tidak boleh dipisahkan oleh manusia.” (Matius 19:4-6) Apabila Tuhan mengahwinkan Adam dan Hawa, Dia tidak menyatakan sebarang dasar untuk perceraian.

Orang Farisi pun berkata, “Kalau begitu, mengapakah Musa mengatakan bahawa orang yang mahu menceraikan isterinya perlu memberinya surat cerai?” (Matius 19:7) Yesus menjawab, “Musa mengizinkan kamu menceraikan isteri kerana hati kamu degil. Tetapi halnya tidak demikian pada mulanya.” (Matius 19:8) “Pada mulanya” merujuk kepada waktu Tuhan mengasaskan perkahwinan di Taman Eden bukannya pada zaman Musa.

Kemudian Yesus berkata, “Sesiapa yang menceraikan isterinya padahal isterinya tidak melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral [Yunani, por·neiʹa], dia berzina jika dia berkahwin dengan wanita lain.” (Matius 19:9) Maka, perbuatan seks yang tidak bermoral ialah satu-satunya dasar untuk perceraian.

Murid-murid Yesus berkata, ‘Jika begitu, lebih baik tidak berkahwin.’ (Matius 19:10) Ya, ikatan perkahwinan ialah ikatan yang kekal!

Berkenaan hidup membujang, Yesus menjelaskan bahawa ada orang yang tidak dapat berkahwin kerana dilahirkan demikian, dan ada pula yang tidak berkahwin kerana dimandulkan. Tetapi ada juga yang tidak berkahwin agar dapat bertumpu kepada Kerajaan Tuhan. Yesus berkata, “Jika seseorang sanggup hidup tanpa berkahwin, biarlah dia tidak berkahwin.”​—Matius 19:12.

Kemudian orang mula membawa kanak-kanak kepada Yesus, tetapi murid-muridnya memarahi mereka. Barangkali mereka tidak mahu Yesus diganggu. Ketika Yesus nampak hal itu, dia naik marah lalu berkata, ‘Biarlah kanak-kanak itu datang kepadaku. Jangan mencuba menghalang mereka, kerana Kerajaan Tuhan akan menjadi milik orang seperti mereka. Sesiapa yang tidak menerima Kerajaan Tuhan seperti seorang kanak-kanak, tidak akan masuk ke dalamnya.’​—Markus 10:14, 15; Lukas 18:15.

Jika kita ingin memasuki Kerajaan Tuhan, kita mesti bersikap seperti kanak-kanak yang rendah hati dan sudi diajar. Yesus mengasihi kanak-kanak. Dia memeluk dan memberkati mereka. Dia juga menunjukkan kasih sedemikian kepada semua yang “menerima Kerajaan Tuhan seperti seorang kanak-kanak.”​—Lukas 18:17.