Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Keprihatinan Tuhan Bermanfaat untuk Anda

Cara Keprihatinan Tuhan Bermanfaat untuk Anda

Tuhan telah menciptakan tubuh kita dengan kuasa pemulihan yang menakjubkan. Semasa kita tergores atau cedera, tubuh kita akan memulakan “proses yang rumit untuk merawat luka, baik yang besar mahupun yang kecil.” (Johns Hopkins Medicine) Tubuh kita akan segera bertindak untuk menghentikan pendarahan, membaiki luka, dan menguatkan tisu.

FIKIRKAN: Jika Pencipta kita mengurniai tubuh kita kebolehan untuk sembuh daripada kecederaan, sudah tentu Dia mampu membantu mengubati luka emosi kita! Pemazmur menulis, “Dia menyembuhkan orang yang hancur hati; Dia membalut luka mereka.” (Mazmur 147:3) Namun, jika anda pernah mengalami trauma atau gangguan emosi, dapatkah Yehuwa membalut luka anda sekarang dan pada masa depan?

AJARAN BIBLE TENTANG KASIH TUHAN

Tuhan berjanji, “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu.” (Yesaya 41:10) Seseorang yang sedar bahawa Yehuwa mengambil berat tentangnya akan berasa tenang dan memiliki kekuatan untuk menghadapi pelbagai cubaan. Rasul Paulus menggambarkan ketenangan ini sebagai “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” Dia menambah, “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”​—Filipi 4:4-7, 9, 13.

Bible menguatkan keyakinan kita terhadap janji-janji Yehuwa. Contohnya, Wahyu 21:4, 5 memberitahu kita apa yang akan dilakukan Tuhan dan mengapa Dia pasti melakukannya:

  • “Dia akan menyapu semua air mata” kita. Yehuwa akan melenyapkan semua penderitaan dan kerisauan kita, bahkan masalah yang nampaknya kecil dalam pandangan orang lain.

  • Sebagai Tuhan Yang Maha Kuasa, yang “duduk di atas takhta,” Dia akan menggunakan kuasa-Nya untuk mencegah kesusahan dan membantu kita.

  • Yehuwa menjamin bahawa janji-janji-Nya “benar dan dapat dipercayai.” Ya, penunaian janji Yehuwa berkait rapat dengan reputasi-Nya sebagai Tuhan yang benar.

“‘Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.’ Dia yang duduk di atas takhta berfirman, ‘Lihatlah! Aku sedang menjadikan semuanya baharu.’ Dia berfirman lagi, ‘Tuliskanlah hal ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.’”​—Wahyu 21:4, 5.

Melalui alam semesta dan Bible, kita mengenali sifat dan keperibadian Bapa kita yang di syurga. Ciptaan Tuhan mendorong kita untuk menjadi sahabat-Nya, manakala Bible dengan jelas menjemput kita untuk berbuat demikian. “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yakobus 4:8) Kisah 17:27 menyatakan, “Dia sebenarnya tidak jauh daripada kita masing-masing.”

Apabila anda meluangkan masa untuk mengenali Tuhan, anda akan semakin percaya bahawa ‘Dia mengambil berat tentang anda.’ (1 Petrus 5:7) Mengapakah kepercayaan itu bermanfaat?

Fikirkan contoh Toru, dari Jepun. Dia dibesarkan oleh ibu Kristian, tetapi dia terlibat dalam keganasan dunia yakuza, iaitu kongsi gelap Jepun. Dia berkata, “Saya percaya Tuhan benci saya, dan saya rasa kematian orang di sekeliling saya, terutamanya orang terdekat, merupakan hukuman daripada Tuhan kepada saya.” Toru mengaku bahawa keadaan dan fikiran sebegitu menjadikannya “seorang yang berhati batu.” Apakah cita-citanya? “Saya mahu bunuh seseorang yang lebih masyhur daripada saya. Kemudian saya akan menjadi terkenal dan mati semasa muda.”

Namun, setelah Toru dan isterinya Hannah mempelajari Bible, kehidupan dan pandangan Toru berubah secara drastik. Hannah berkata, “Suami saya berubah di depan mata saya.” Kini, Toru berkata dengan yakin, “Ada Tuhan yang benar-benar ambil berat tentang kita sebagai individu. Dia tidak mahu sesiapa pun mati, dan Dia rela ampuni orang yang bertaubat. Dia mendengar apabila kita memberitahu-Nya hal yang tidak akan kita beritahu orang lain dan yang tidak dapat difahami orang lain. Tidak lama lagi, Yehuwa akan melenyapkan semua masalah, penderitaan, dan kesusahan. Sekarang pun Dia membantu kita dalam cara yang tidak disangka. Dia sayang kita dan membantu kita semasa kita dihempap masalah.”​—Mazmur 136:23.

Ya, apabila kita tahu bahawa Tuhan mampu dan bakal melenyapkan semua malapetaka dan air mata, kita bukan sahaja dapat menantikan masa depan yang cerah, malah dapat menikmati kehidupan yang bermakna sekarang juga. Biarpun anda masih perlu hidup dalam dunia yang sarat dengan penderitaan, kasih dan keprihatinan Tuhan dapat membantu anda.