Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pencipta Kita Mengambil Berat tentang Kita

Pencipta Kita Mengambil Berat tentang Kita

1. PENCIPTA KITA MEMBUAT MATAHARI TERBIT

Tanpa matahari, hidupan tidak dapat wujud di bumi. Tenaga daripada matahari membolehkan pokok menghasilkan daun, bunga, buah, dan benih. Tenaga itu juga membantu pokok menyerap air melalui akar dan menyalurkannya ke daun. Haba daripada matahari akan membuat air di dalam daun tersejat lalu dibebaskan sebagai wap ke udara.

2. PENCIPTA KITA MEMBUAT HUJAN TURUN

Hujan merupakan kurniaan Tuhan yang membolehkan bumi menghasilkan makanan. Tuhan memberi kita hujan dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya. Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan kita dan memenuhi hati kita dengan sukacita.

3. PENCIPTA KITA MENYEDIAKAN MAKANAN DAN PAKAIAN

Ramai bapa berasa risau kerana ingin menyediakan makanan dan pakaian yang mencukupi untuk keluarga mereka. Firman Tuhan menyatakan, “Perhatikanlah burung di langit yang tidak menyemai benih, menuai, atau mengumpulkan hasil ke dalam jelapang. Namun Bapa kamu yang di syurga masih memberi burung makanan. Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung-burung?”​—Matius 6:25, 26.

“Perhatikanlah dengan cermat bagaimana bunga-bunga tumbuh di padang. . . . Aku berkata kepada kamu bahawa Raja Salomo dengan segala kemuliaannya pun tidak berpakaian seindah salah satu daripada bunga-bunga itu. . . . Jika tumbuh-tumbuhan di padang . . . pun diberi pakaian yang indah oleh Tuhan, apatah lagi dengan kamu! Sudah pasti Dia akan memberi kamu pakaian yang diperlukan.”​—Matius 6:28-30.

Jika Tuhan dapat menyediakan pakaian dan makanan untuk kita, Dia pasti dapat membantu kita memenuhi keperluan hidup yang lain. Sekiranya kita berusaha melakukan kehendak Tuhan, Dia dapat memberkati usaha kita untuk bercucuk tanam atau mencari pekerjaan supaya kita mampu membeli barang keperluan hidup.​—Matius 6:32, 33.

Setelah memikirkan matahari, hujan, burung, dan bunga, tidakkah kita terdorong untuk mengasihi Tuhan? Rencana berikutnya akan membincangkan bagaimana Pencipta kita menyampaikan fikiran-Nya kepada manusia.