Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus semasa dia berkata, “Jangan berfikir bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian”?

Yesus mengumumkan berita kedamaian. Namun pernah sekali, dia memberitahu para rasulnya, “Jangan berfikir bahawa aku datang ke bumi untuk membawa kedamaian. Aku datang bukannya untuk membawa kedamaian, tetapi untuk membawa perpecahan [atau “pedang,” nota kaki]. Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa, anak perempuan melawan ibu, dan menantu melawan ibu mentua.” (Mat. 10:34, 35) Apakah maksud Yesus?

Yesus tidak mahu memecahbelahkan keluarga, tetapi dia tahu bahawa ajarannya mungkin menyebabkan perpecahan dalam sesetengah keluarga. Maka, orang yang ingin dibaptis dan menjadi murid Kristus harus bersedia untuk menghadapi tentangan daripada pasangan atau ahli keluarga yang tidak seiman. Cabaran ini mungkin membuat mereka berasa susah untuk terus mematuhi ajaran Kristus.

Bible menggalakkan orang Kristian untuk “berdamai dengan semua orang.” (Rm. 12:18) Namun, ajaran Yesus mungkin menjadi seperti “pedang” dalam sesetengah keluarga. Jika seseorang menerima ajaran Yesus tetapi ahli keluarganya yang lain menolak atau menentangnya, mereka seolah-olah menjadi “musuh” kepadanya.​—Mat. 10:36.

Ada kalanya, pengikut Kristus yang tinggal bersama ahli keluarga yang tidak seiman perlu memilih sama ada mereka mahu menyenangkan hati Yehuwa dan Yesus, atau menyenangkan hati saudara-mara mereka. Contohnya, mereka mungkin menghadapi cabaran sebegini semasa musim perayaan. Apabila ditentang oleh ahli keluarga yang tidak seiman, mereka akan mengingati kata-kata Yesus ini: “Sesiapa yang lebih mengasihi ibu bapanya daripada aku, tidak layak menjadi muridku.” (Mat. 10:37) Sudah tentu, Yesus tidak bermaksud bahawa orang yang ingin menjadi pengikutnya tidak boleh mengasihi ibu bapa mereka. Sebaliknya, dia ingin menekankan bahawa mereka harus mempunyai keutamaan yang betul. Jika ahli keluarga yang tidak seiman menentang ibadat kita, kita masih akan mengasihi mereka, tetapi kita akan mendahulukan kasih kita kepada Yehuwa.

Sudah tentu, kita akan sangat sedih semasa ditentang oleh ahli keluarga. Namun, murid-murid Yesus akan mengingati kata-katanya, “Sesiapa yang tidak mahu memikul tiang seksaannya dan mengikut aku, tidak layak menjadi muridku.” (Mat. 10:38) Dalam kata lain, orang Kristian menganggap tentangan daripada keluarga sebagai cabaran yang perlu dihadapi oleh pengikut Kristus. Pada masa yang sama, mereka berharap agar kelakuan baik mereka akan mengubah fikiran ahli keluarga yang tidak seiman dan mendorong mereka untuk mempelajari Bible.​—1 Ptr. 3:1, 2.