Lompat ke kandungan

Mengapa Berdoa dalam Nama Yesus?

Mengapa Berdoa dalam Nama Yesus?

YESUS mengajar banyak hal tentang doa. Pada zamannya, pemimpin agama Yahudi suka berdoa “di simpang jalan utama.” Mengapa? Mereka buat begitu “agar dilihat orang.” Ya, mereka mahu dipuji orang. Selain itu, mereka sering mengulangi doa-doa yang sama kerana mereka sangka Tuhan akan mendengar jika “doa mereka panjang.” (Matius 6:5-8) Tetapi, Yesus menjelaskan bahawa perbuatan mereka sia-sia. Dia mengajar pengikutnya cara yang betul untuk berdoa dan apa yang tidak patut dilakukan.

Yesus kata bahawa kita patut berdoa tentang penyucian nama Tuhan, kedatangan Kerajaan-Nya, dan pelaksanaan kehendak-Nya. Kita juga boleh berdoa tentang hal-hal peribadi. (Matius 6:9-13; Lukas 11:2-4) Dalam perumpamaan Yesus, dia menjelaskan bahawa kita perlu berdoa dengan rendah hati, iman, dan bersungguh-sungguh. Barulah Tuhan akan mendengar doa kita. (Lukas 11:5-13; 18:1-14) Yesus sendiri juga menunjukkan teladan yang baik dalam soal berdoa.​—Matius 14:23; Markus 1:35.

Sudah pasti, ajaran Yesus membantu para pengikutnya untuk mengucapkan doa yang lebih bermakna. Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia telah mengajar mereka sesuatu yang sangat penting tentang doa.

“Titik Perubahan Berkaitan dengan Doa”

Pada malam terakhir Yesus di bumi, dia memberi muridnya kata-kata galakan. Dia juga mengajar mereka tentang suatu hal yang sangat penting. Yesus kata, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” Seterusnya, dia berjanji, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta atas namaku, supaya Bapa dimuliakan melalui Anak. Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.” Dia menambah, “Hingga saat ini kamu belum meminta apa-apa atas namaku. Mintalah dan kamu akan menerimanya, supaya sukacita kamu sempurna.”​—Yohanes 14:6, 13, 14; 16:24.

Kata-kata Yesus sangat bermakna. Menurut suatu rujukan, “inilah titik perubahan berkaitan dengan doa.” Yesus bukannya kata bahawa doa-doa harus diucapkan kepadanya. Sebaliknya, dia sedang membuka jalan baharu untuk menghampiri Tuhan Yehuwa.

Sebenarnya, Tuhan mendengar doa hamba-hamba-Nya yang setia sejak dulu lagi. (1 Samuel 1:9-19; Mazmur 65:2) Tetapi, pada masa itu, orang yang mahu doa mereka didengari Tuhan harus mengakui bahawa bangsa Israel ialah umat pilihan-Nya. Pada zaman Salomo pula, mereka perlu terima bahawa Rumah Tuhan ialah tempat terpilih untuk mempersembahkan korban. (Ulangan 9:29; 2 Tawarikh 6:32, 33) Namun, aturan ini hanyalah sementara. Rasul Paulus menulis bahawa Hukum Musa dan korban-korban di Rumah Tuhan ialah “bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang, dan bukannya perkara-perkara itu sendiri.” (Ibrani 10:1, 2) Apabila perkara yang sebenar sudah tiba, bayangannya tidak lagi diperlukan. (Kolose 2:17) Maka, sejak 33 M, hubungan seseorang dengan Tuhan adalah berasaskan kepatuhan kepada Yesus, bukannya Hukum Musa.​—Yohanes 15:14-16; Galatia 3:24, 25.

“Nama yang Lebih Tinggi daripada Segala Nama”

Yesus menjelaskan bahawa dialah jalan yang membolehkan kita menghampiri dan berdoa kepada Tuhan Yehuwa. Mengapakah Yesus dapat memainkan peranan ini?

Hal ini kerana dia telah menyerahkan nyawanya yang sempurna sebagai tebusan bagi kita. (Roma 5:12, 18, 19) Tanpa korban tebusannya, kita tidak dapat memiliki hubungan dengan Tuhan kita yang suci kerana kita tidak dapat menghapuskan dosa sendiri. (Roma 3:20, 24; Ibrani 1:3, 4) Tetapi kini, kita dapat menjadi bersih di mata Tuhan. Maka kita dapat “bercakap dengan berani” kepada-Nya jika kita beriman kepada Yesus dan berdoa dalam namanya.​—Efesus 3:11, 12.

Semasa kita berdoa dalam nama Yesus, kita menunjukkan iman terhadap peranannya dalam tiga cara berikut: (1) Kita mengakui bahawa dia ialah “Anak Bebiri Tuhan,” dan korbannya membolehkan dosa kita diampunkan. (2) Dia sudah dibangkitkan oleh Yehuwa; sebagai “imam agung,” dia menggunakan nilai tebusan untuk memberkati manusia. (3) Yesuslah satu-satunya “jalan” bagi kita untuk menghampiri Yehuwa melalui doa.​—Yohanes 1:29; 14:6; Ibrani 4:14, 15.

Doa yang diucapkan melalui nama Yesus juga menunjukkan kita menghormatinya. Hal ini penting kerana Yehuwa kata bahawa ‘atas nama Yesus, semua harus berlutut, dan setiap orang harus mengaku di hadapan umum bahawa Yesus Kristus ialah Tuan kita. Dengan demikian Tuhan, Bapa kita, dimuliakan.’ (Filipi 2:10, 11) Selain itu, berdoa melalui nama Yesus menunjukkan bahawa kita menghormati Yehuwa kerana Dialah yang mengutus Anak-Nya untuk menyelamatkan kita.​—Yohanes 3:16.

Berdoalah dengan “sepenuh hati”

Untuk membantu kita lebih menghargai kedudukan Yesus yang penting, kita boleh meneliti nama dan gelaran dalam Bible yang merujuk kepadanya. Dengan memahami tugas yang Yesus telah, sedang, dan bakal lakukan, kita dapat lebih memahami berkat-berkat yang dibawanya. (Lihat kotak “ Peranan Penting Yesus”.) Sememangnya, Yesus telah diberi “nama yang lebih tinggi daripada segala nama yang lain.” * Kekuasaannya menjangkau syurga dan bumi.​—Filipi 2:9; Matius 28:18.

Bukan Sekadar Kata-Kata Penutup

Kita tahu bahawa kita mesti mengucapkan doa dalam nama Yesus agar didengari Tuhan. (Yohanes 14:13, 14) Tetapi, janganlah sekadar mengucapkannya kerana sudah terbiasa. Mengapakah kita tidak patut mempunyai pandangan ini?

Fikirkan contoh ini: Semasa anda mendapat surat daripada sebuah syarikat, anda melihat ungkapan “yang benar” tertulis pada hujungnya. Adakah anda rasa ungkapan itu ikhlas daripada penulisnya? Barangkali anda sedar bahawa itu sekadar tatatertib menulis surat dan bukannya diucapkan secara ikhlas. Begitu juga, kita tidak mahu menganggap ungkapan “dalam nama Yesus” sebagai kata-kata penutup saja. Kita mahu ingat makna di sebalik nama Yesus dan berdoa dengan “sepenuh hati.”​—Mazmur 119:145; 1 Tesalonika 5:17.

Kita dapat melakukan hal ini dengan merenungkan sifat-sifat baik Yesus. Selain itu, fikirkanlah tentang semua yang telah dan akan dilakukannya bagi anda. Semasa berdoa, ucapkanlah terima kasih kepada Yehuwa dan berikanlah pujian kepada-Nya kerana memberi Anak-Nya peranan yang istimewa. Dengan berbuat demikian, anda boleh yakin akan janji Yesus ini: “Bapa akan memberikan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.”​—Yohanes 16:23.

^ per. 14 Menurut kamus Vine’s Expository Dictionary of New Testament Words, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “nama” boleh merujuk kepada “semua yang tersirat dalam nama, termasuk kewibawaan, sifat, pangkat, keagungan, kuasa, [dan] keunggulan.”