Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

TOPIK UTAMA | CARA MENANGANI KEKHUATIRAN

Khuatir tentang Keluarga

Khuatir tentang Keluarga

“Tidak lama selepas bapa saya meninggal, suami saya kata dia ada hubungan dengan wanita lain,” kata Janet. “Kemudian dia mengemaskan barangnya lalu meninggalkan saya dan anak-anak kami.” Janet mendapat pekerjaan, tetapi gajinya tidak cukup untuk membayar pinjaman rumah mereka. Dia juga menghadapi masalah lain. “Saya sangat risau kerana harus memikul banyak tanggungjawab,” katanya. “Saya kecewa kerana tidak dapat memenuhi keperluan anak seperti yang dilakukan ibu bapa yang lain. Malah, saya risau tentang pandangan orang terhadap saya dan anak-anak saya. Adakah mereka berfikir bahawa saya tidak berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan saya?”

Janet

Doa membantu Janet untuk bertenang dan menguatkan hubungannya dengan Tuhan. “Waktu malam ialah masa yang paling sukar. Apabila keadaan menjadi senyap, bisikan kekhuatiran semakin kuat dalam minda saya. Doa dan pembacaan Bible membantu saya untuk tidur. Ayat kegemaran saya ialah Filipi 4:6, 7: ‘Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.’ Saya selalu berdoa dan merasai kesejahteraan daripada Yehuwa.”

Kata-kata Yesus dalam Ceramah Di Atas Gunung dapat membantu kita menangani segala macam kekhuatiran. “Bapa kamu, sudah tahu apa yang kamu perlukan bahkan sebelum kamu meminta daripada-Nya.” (Matius 6:8) Kita harus berdoa kerana itulah cara utama kita ‘menghampiri Tuhan.’ Hasilnya, “Dia pun akan menghampiri kamu.”—Yakobus 4:8.

Doa bukan hanya dapat melegakan hati kita. Sebagai Pendengar doa, Yehuwa benar-benar “mengabulkan doa” kita. (Mazmur 65:3) Itulah sebabnya Yesus mengajar kita untuk “sentiasa berdoa dan tidak berputus asa.” (Lukas 18:1) Kita harus meminta bimbingan dan bantuan Tuhan, serta yakin bahawa Dia akan memberkati iman kita. Kita tidak meragui keinginan atau kemampuan-Nya untuk membantu kita. Kita menunjukkan iman dengan sentiasa berdoa.—1 Tesalonika 5:17.

CARA UNTUK MENUNJUKKAN IMAN

Apakah maksud iman? Orang yang beriman benar-benar “mengenal” Tuhan. (Yohanes 17:3) Kita mengenal Tuhan dengan mempelajari buah fikiran-Nya yang terkandung dalam Alkitab. Kita belajar bahawa Tuhan memperhatikan dan ingin membantu kita. Sepertimana kita tidak dapat menjadi kawan baik seseorang dalam masa yang singkat, kita memerlukan masa untuk menjadi rapat dengan Tuhan. Jika kita berusaha mengenali-Nya dan “melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya,” serta merasai bantuan-Nya, iman kita akan “semakin bertambah.” (Yohanes 8:29; 2 Korintus 10:15) Iman sebegini telah membantu Janet.

“Iman saya dikuatkan setiap kali saya merasai bantuan Yehuwa,” kata Janet. “Kita sering mengalami ketidakadilan yang sukar dihadapi. Dengan selalu berdoa, saya sedar bahawa Yehuwa akan menyediakan jalan keluar. Setiap kali saya bersyukur kepada Tuhan, saya teringat akan bantuan yang pernah diberikan-Nya. Dia selalu membantu kami tepat pada masanya. Yehuwa juga memberkati saya dengan saudara saudari yang menjadi sahabat sejati saya. Mereka sentiasa rela membantu dan merupakan teladan baik bagi anak-anak saya.” *

“Saya tahu mengapa Yehuwa berkata di Maleakhi 2:16 bahawa Dia ‘membenci perceraian.’ Bagi pasangan yang tidak bersalah, perceraian ialah pengkhianatan yang paling teruk. Bertahun-tahun berlalu sejak suami saya meninggalkan kami. Namun, ada kala saya berasa sunyi dan tidak bernilai. Ketika itu, saya cuba membantu orang lain, dan hal ini membantu saya.” Dengan menerapkan prinsip Bible untuk tidak mengasingkan diri, Janet dapat mengurangkan kekhuatirannya. *Amsal 18:1.

Tuhan “memelihara anak yatim dan melindungi balu.”—Mazmur 68:6

Janet berkata, “Saya berasa sangat lega kerana Tuhan ‘memelihara anak yatim dan melindungi balu.’ Dia tidak akan meninggalkan kami seperti suami saya.” (Mazmur 68:6) Janet tahu bahawa Tuhan tidak mencubai kita dengan “hal-hal yang jahat.” Sebaliknya, Dia memberikan kebijaksanaan dengan “murah hati terhadap semua orang,” serta “kuasa luar biasa” supaya kita dapat menangani kekhuatiran.—Yakobus 1:5, 13; 2 Korintus 4:7.

Tetapi bagaimana pula jika kita khuatir kerana nyawa kita terancam?

^ per. 10 Untuk maklumat lanjut mengenai cara ibu bapa tunggal boleh menangani kekhuatiran, sila lihat bab 9 dalam buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga yang didapati di www.ps8318.com/ms.