Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dapatkah Sistem Ekonomi yang Adil Wujud?

Dapatkah Sistem Ekonomi yang Adil Wujud?

 Di banyak negara, orang mengadakan tunjuk perasaan kerana mereka berasa sistem ekonomi tidak adil. Pandemik Covid-19 membuat hal ini lebih teruk lagi kerana berlakunya lockdown, kekurangan keperluan hidup, dan kemudahan rawatan yang terhad. Oleh itu, jurang antara orang yang kaya dan miskin menjadi lebih ketara.

 Adakah masalah ekonomi yang menyebabkan banyak penderitaan akan berakhir? Ya. Bible menjelaskan apa yang akan dilakukan oleh Tuhan untuk menyelesaikan masalah kita.

Masalah ekonomi yang akan diselesaikan oleh Tuhan

 Masalah: Manusia tidak dapat menubuhkan sistem ekonomi yang memenuhi keperluan semua orang.

 Penyelesaian: Tuhan akan menggantikan kerajaan-kerajaan manusia dengan Kerajaan-Nya. Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi dari syurga.—Daniel 2:44; Matius 6:10.

 Hasil: Oleh sebab Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi, kerajaan itu akan mengurus hal ehwal di bumi dengan sempurna. Manusia tidak lagi akan menjadi miskin atau risau tentang keperluan hidup. (Mazmur 9:7-9, 18) Sebaliknya mereka akan menikmati hasil usaha mereka, dan kehidupan yang produktif dan memuaskan bersama keluarga mereka. Bible menjanjikan bahawa “orang akan membina rumah dan mendiaminya, mereka akan mengusahakan ladang anggur dan memakan hasilnya. Rumah yang dibina oleh mereka tidak akan didiami oleh orang lain dan apa yang ditanam oleh mereka tidak akan dimakan oleh orang lain.”—Yesaya 65:21, 22.

 Masalah: Manusia tidak dapat mengelakkan situasi yang menyebabkan mereka tidak cukup keperluan hidup dan situasi yang menyebabkan penderitaan.

 Penyelesaian: Tuhan akan menggunakan Kerajaan-Nya untuk melenyapkan apa sahaja yang membuat manusia berasa takut dan risau.

 Hasil: Di bawah jagaan Tuhan, manusia tidak lagi akan mengalami keadaan yang menyebabkan kekurangan keperluan hidup. Contohnya, peperangan, kebuluran, dan pandemik tidak akan ada lagi. (Mazmur 46:9; 72:16; Yesaya 33:24) Tuhan berkata, “Bangsaku akan tinggal di tempat yang selamat, tempat kediaman mereka akan aman sentosa.”—Yesaya 32:18.

 Masalah: Orang yang mementingkan diri dan tamak biasanya mengambil kesempatan ke atas orang lain.

 Penyelesaian: Rakyat Kerajaan Tuhan akan belajar untuk lebih mengasihi orang lain daripada diri sendiri.—Matius 22:37-39.

 Hasil: Di bawah Kerajaan Tuhan, semua orang akan meniru kasih Tuhan yang “tidak mementingkan diri sendiri.” (1 Korintus 13:4, 5) Bible menyatakan, “Di gunung suci Tuhan, tiada apa-apa pun yang akan mengakibatkan kecederaan atau kerosakan, kerana pengetahuan tentang Yehuwa a memenuhi bumi, sebagaimana air memenuhi laut.”—Yesaya 11:9.

 Bible menjelaskan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir sistem dunia ini dan tidak lama lagi Tuhan akan mengotakan janji-Nya untuk mengakhiri semua masalah ekonomi. b (Mazmur 12:5) Sementara itu, prinsip-prinsip Bible boleh membantu anda menangani masalah ekonomi yang anda hadapi. Contohnya, lihatlah rencana, “Bagaimanakah Saya Dapat Hidup dengan Pendapatan yang Kurang Berbanding Dahulu?” dan “Pandangan yang Benar tentang Uang” dalam bahasa Indonesia.

a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—Mazmur 83:18.

b Untuk mempelajari mengapa anda dapat mempercayai Bible, sila lihat rencana “Bible—Sumber Kebenaran yang Dapat Dipercayai.”