Lompat ke kandungan

Mengubah Kehidupan Banduan, Seorang demi Seorang

Mengubah Kehidupan Banduan, Seorang demi Seorang

Saksi-Saksi Yehuwa di Sepanyol mengunjungi 68 buah penjara, dan terdapat kira-kira 600 orang banduan yang mempelajari Bible.

Salah seorang Saksi yang membuat kunjungan sedemikian ialah Miguel. Sebelum menjadi Saksi, dia telah dipenjarakan selama 12 tahun. Sekarang, dia kembali ke penjara setiap minggu. Sebabnya? Dia ingin membantu orang lain mengubah kehidupan mereka, sebagaimana dia telah dibantu untuk mengubah kehidupannya.

Sejak lapan tahun yang lalu, Miguel telah mempelajari Bible dengan banyak banduan. Dia berkata, “Saya berasa senang hati dapat membantu banduan di penjara lama saya. Apabila saya nampak mereka ingin meninggalkan haluan jenayah, saya benar-benar gembira.”

Semasa Miguel berumur empat tahun, bapanya terbunuh kerana dilanggar oleh seorang pemandu yang mabuk. Sejak itu, ibunya harus bekerja bertungkus-lumus untuk menjaga keperluan keluarga.

Miguel dan abangnya mula ponteng sekolah dan mencuri barang daripada rumah dan kereta orang lain. Pada umur 12 tahun, Miguel melakukan jenayah ringan. Pada umur 15 tahun, dia mula menjual dadah dan mendapat banyak wang. Namun, Miguel telah menghabiskan banyak wang kerana dia ketagihan heroin dan kokain. Akibatnya, dia harus mencuri lebih banyak barang lagi. Pada usia 16 tahun, dia sering keluar masuk penjara. Tidak lama kemudian, dia telah melakukan banyak jenayah yang berat. “Saya pasti saya akan mati di penjara atau mati kerana mengambil dadah yang berlebihan,” kata Miguel. “Saya berasa seperti lalat dalam sarang labah-labah.”

Namun, pada tahun 1994, salah seorang kawan Miguel meminta seorang Saksi untuk menulis surat kepada Miguel, yang dipenjarakan pada masa itu. Setelah membaca surat itu, Miguel mendapat tahu bahawa Tuhan akan menjadikan bumi ini sebuah firdaus. Saksi itu menggalakkan Miguel untuk mengubah kehidupannya supaya dia dapat menikmati apa yang dijanjikan Tuhan. Miguel berkata, “Kata-katanya menyentuh hati saya. Pada hari itu, semuanya telah berubah. Saya membuat keputusan untuk mempelajari Bible, meskipun saya tahu hal itu langsung tidak mudah.”

Miguel tahu bahawa membuat perubahan tidak mudah kerana dia ketagihan dadah dan rokok, dan kedua-duanya senang didapati. Banduan lain yang dipenjarakan bersamanya menawarkan dadah kepada dia setiap hari. Miguel terus berdoa agar dia mendapat kekuatan untuk mengatasi ketagihan itu, dan akhirnya dia telah berjaya.

Tiga bulan kemudian, Miguel mula memberitahu banduan lain tentang kepercayaannya. Pada tahun yang berikutnya, dia dibebaskan dan dibaptiskan sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Dia juga merancang untuk berkahwin, tetapi sebulan sebelum majlis perkahwinan, pihak mahkamah memutuskan bahawa dia harus dipenjarakan sepuluh tahun lagi untuk beberapa kes yang belum selesai. Walau bagaimanapun, dia dibebaskan tiga setengah tahun kemudian kerana dia berkelakuan baik. Akhirnya Miguel telah berkahwin, dan dia tidak pernah kembali ke haluan jenayah lagi.