Lompat ke kandungan

Konvensyen Tagalog di Rom—“Memang Suatu Pertemuan Keluarga yang Besar!”

Konvensyen Tagalog di Rom—“Memang Suatu Pertemuan Keluarga yang Besar!”

Pada 24-​26 Julai 2015, ribuan Saksi-Saksi Yehuwa yang berbahasa Tagalog menghadiri satu konvensyen yang istimewa di Rom, Itali. Mereka berasal dari Filipina yang terletak lebih daripada 10,000 kilometer dari Rom.

Berdasarkan satu anggaran, lebih daripada 850,000 orang Filipina tinggal di Eropah. Maka, kira-kira 60 buah sidang dan kumpulan-kumpulan kecil Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan perjumpaan dalam bahasa Tagalog di Eropah. Mereka juga giat berkongsi berita baik kepada orang yang bertutur dalam bahasa Tagalog.

Namun, semua sidang dan kumpulan kecil ini telah berkumpul di Rom untuk menghadiri konvensyen dalam bahasa mereka sendiri selama tiga hari buat kali pertama. Hadirin yang berjumlah 3,239 orang sangat teruja melihat Saudara Mark Sanderson turut hadir dan menyampaikan ceramah penutupan pada ketiga-tiga hari konvensyen. Saudara Mark Sanderson ialah salah seorang ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa dan pernah berkhidmat di Filipina.

“Hati Saya Sangat Tersentuh”

Apakah perbezaannya jika seseorang menghadiri konvensyen dalam bahasa ibundanya atau dalam bahasa lain? Eva, seorang ibu tunggal, berkata, “Saya kurang faham bahasa Inggeris. Jadi, saya sangat bersyukur ada konvensyen dalam bahasa Tagalog. Saya faham semua ajaran Bible yang disampaikan dan hati saya sangat tersentuh.” Eva dan dua orang anaknya tinggal di Sepanyol. Biasanya, mereka makan di luar setiap minggu. Tetapi untuk membiayai perjalanan ke Itali, mereka membuat keputusan untuk makan di luar hanya sebulan sekali. “Tidak sia-sia pengorbanan kami, kerana saya faham semua program dalam konvensyen itu!” kata Eva.

Jasmin, yang tinggal di Jerman, memohon cuti agar dapat menghadiri konvensyen ini. Tetapi dia berkata, “Sejurus sebelum saya bertolak, saya diberitahu bahawa saya tidak dibenarkan pergi kerana ada kerja yang mesti disiapkan. Saya cuba bertenang dan berdoa kepada Yehuwa, kemudian pergi berjumpa dengan bos saya. Akhirnya kami dapat mengatur semuanya sehingga saya dapat menghadiri konvensyen! Saya sangat gembira kerana berpeluang untuk berkumpul bersama saudara saudari yang sebangsa dengan saya dari seluruh Eropah.”

Sememangnya, banyak orang Filipina yang tinggal di Eropah sangat rindu akan kampung halaman mereka dan kawan-kawan mereka yang telah berpindah ke bahagian lain di Eropah. Konvensyen ini telah membolehkan mereka bertemu semula dengan kawan mereka yang kini telah menjadi saudara saudari rohani mereka. (Matius 12:48-​50) Seorang saudara yang bernama Fabrice berkata, “Saya sangat gembira melihat orang yang saya kenal!” Selepas konvensyen berakhir, seorang saudari asyik berkata, “Memang suatu pertemuan keluarga yang besar!”