Lompat ke kandungan

Bagaimanakah Saya Dapat Menjadi Saksi-Saksi Yehuwa?

Bagaimanakah Saya Dapat Menjadi Saksi-Saksi Yehuwa?

 Di Matius 28:19, 20, Yesus menyebut tentang langkah-langkah untuk menjadi salah seorang pengikutnya. Seseorang yang ingin menjadi Saksi-Saksi Yehuwa perlu melakukan apa yang disebut dalam ayat tadi. Hal itu merangkumi memberikan kesaksian tentang Yehuwa.

 Langkah 1: Mempelajari Bible. Yesus menyuruh para pengikutnya untuk ‘menjadikan orang pengikutnya dan mengajar mereka.’ (Matius 28:19, 20) Dalam bahasa asal, “pengikut” bermaksud “orang yang belajar.” Melalui Bible, terutamanya melalui ajaran Yesus Kristus, anda dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk menikmati kehidupan yang bahagia. (2 Timotius 3:​16, 17) Kami gembira untuk membantu anda mempelajari Bible melalui program pembelajaran Bible kami yang percuma.​—Matius 10:​7, 8; 1 Tesalonika 2:​13.

 Langkah 2: Amalkan apa yang anda pelajari. Yesus berkata bahawa orang yang mempelajari Bible juga perlu ‘mentaati segala yang telah diperintahkannya.’ (Matius 28:20) Hal ini bermaksud bahawa semasa mempelajari Bible, anda bukan sahaja perlu menimba ilmu, tetapi anda mungkin perlu membuat perubahan yang besar dalam pemikiran dan kelakuan sendiri. (Kisah 10:42; Efesus 4:​22-​29; Ibrani 10:24, 25) Orang yang mentaati perintah Yesus akan didorong untuk mengikutnya dengan membaktikan kehidupan mereka kepada Tuhan Yehuwa.​—Matius 16:24.

 Langkah 3: Dibaptis. (Matius 28:19) Dalam Bible, pembaptisan disamakan dengan penguburan. (Bandingkan Roma 6:2-4.) Pembaptisan menunjukkan bahawa kehidupan yang lama sudah mati dan kehidupan yang baharu sudah bermula. Semasa anda dibaptis, anda menunjukkan kepada semua orang bahawa anda sudah mengambil dua langkah yang disebut tadi, dan sedang memohon agar Tuhan memberi anda hati nurani yang bersih.​—Ibrani 9:​14; 1 Petrus 3:​21.

Bagaimanakah saya tahu bahawa saya sudah bersedia untuk dibaptis?

 Bercakaplah dengan para penatua di sidang. Mereka akan berjumpa dengan anda untuk memastikan bahawa anda mengamalkan apa yang anda pelajari, dan sudah membaktikan diri kepada Tuhan atas keinginan sendiri.​—Kisah 20:28; 1 Petrus 5:​1-3.

Adakah anak-anak Saksi juga mengikut langkah-langkah ini?

 Ya. Kami membesarkan anak-anak kami menurut “disiplin dan nasihat daripada Yehuwa.” (Efesus 6:4) Namun, apabila mereka dewasa, mereka harus membuat keputusan sendiri untuk belajar, menerima dan menerapkan ajaran Bible dalam kehidupan. Mereka harus melakukan hal-hal itu sebelum layak dibaptis. (Roma 12:2) Sememangnya, setiap orang harus membuat pilihan sendiri dalam soal ibadat.​—Roma 14:12; Galatia 6:5.