Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Memaksa Orang Menukar Agama?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Memaksa Orang Menukar Agama?

 Jawapannya tidak. Hal ini pernah dinyatakan dalam majalah utama kami, Menara Pengawal. Rencana dalam majalah itu menyatakan, “Adalah salah untuk memaksa orang menukar agama mereka.” a Berikut ialah sebab-sebab mengapa kami tidak berbuat demikian:

  •   Yesus tidak pernah memaksa orang untuk menerima ajarannya. Dia tahu bukan semua orang akan mendengarkannya. (Matius 7:13, 14) Pernah sekali, beberapa orang pengikut Yesus tersandung kerana kata-katanya. Apabila mereka ingin meninggalkan Yesus, dia tidak menghalang mereka atau memaksa mereka untuk tetap menjadi pengikutnya.​—Yohanes 6:​60-​62, 66-​68.

  •   Yesus tidak mengajar pengikutnya untuk memaksa orang menukar agama mereka. Sebaliknya, mereka harus mencari orang yang sudi mendengar berita baik Kerajaan Tuhan.​—Matius 10:​7, 11-​14.

  •   Memang tidak bermakna jika seseorang menukar agama kerana dipaksa. Hal ini kerana Tuhan hanya menerima ibadat orang yang menyembah-Nya dengan rela hati.​—Ulangan 6:4, 5; Matius 22:37, 38.

Adakah kerja kami bertujuan untuk menukar agama orang?

 Tidak dapat dinafikan bahawa kami mengikut perintah Alkitab untuk menyebarkan mesej Firman Tuhan “sampai ke hujung bumi” dengan menginjil “di depan umum dan dari rumah ke rumah.” (Kisah 1:8; 10:42; 20:20) Seperti orang Kristian abad pertama, kami juga dituduh menggunakan cara yang melanggar undang-undang untuk memaksa orang menukar agama. (Kisah 18:12, 13) Namun, tuduhan sebegini adalah tidak benar. Kami tidak memaksa orang menerima kepercayaan kami. Sebenarnya, kami setuju bahawa setiap orang harus diberikan peluang untuk memperoleh pengetahuan supaya mereka boleh membuat keputusan yang sewajarnya.

 Kami bukan sahaja tidak memaksa orang menukar agama, malah kami juga tidak menjalankan kegiatan agama dengan tujuan politik, atau menjanjikan bantuan sosial serta kebendaan semata-mata untuk memperoleh lebih banyak penganut. Tetapi, sesetengah orang yang mengakui diri Kristian melakukan hal-hal sedemikian, dan perbuatan mereka membawa celaan terhadap Kristus. b

Adakah seseorang berhak untuk menukar agamanya?

Nabi Abraham tidak lagi menganuti agama keluarganya

 Ya. Alkitab menunjukkan bahawa setiap orang berhak menukar agama mereka. Terdapat banyak kisah yang membuktikan hal ini. Misalnya, Abraham, Rut, sesetengah penduduk Atena, dan rasul Paulus memutuskan untuk tidak lagi mengikut agama yang dianuti keluarga mereka. Sebaliknya, mereka memilih untuk menyembah Tuhan yang benar. (Yosua 24:2; Rut 1:14-16; Kisah 17:22, 30-​34; Galatia 1:​14, 23) Selain itu, Alkitab juga mengakui bahawa seseorang memiliki hak untuk meninggalkan ibadat yang diperkenankan Tuhan.​—1 Yohanes 2:​19.

 Kebebasan untuk menukar agama juga disokong oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, perisytiharan ini merupakan “asas bagi hak asasi manusia antarabangsa.” Dokumen ini menyatakan bahawa setiap orang mempunyai “kebebasan untuk menukar agama atau kepercayaan mereka” serta “mencari, mendapatkan, dan mengongsi maklumat atau pendapat,” termasuk hal-hal mengenai agama. c Meskipun demikian, kita harus menghormati hak orang lain. Mereka mempunyai kebebasan untuk terus menganuti agama mereka dan menolak mana-mana ajaran jika mereka tidak setuju.

Adakah seseorang yang menukar agama bermaksud dia tidak menghormati tradisi keluarga atau budayanya?

 Tidak semestinya. Alkitab memberikan galakan untuk menghormati semua orang, tidak kira apa agama yang dianuti mereka. (1 Petrus 2:17) Tambahan lagi, Saksi-Saksi Yehuwa menuruti perintah Alkitab untuk menghormati ibu bapa walaupun agama mereka berbeza.​—Efesus 6:​2, 3.

 Malangnya, tidak semua orang bersetuju dengan pandangan Alkitab. Seorang wanita yang membesar di Zambia berkata, “Dalam masyarakat saya, seseorang yang menukar agama . . . akan dianggap tidak setia, dan mengkhianati keluarga serta masyarakat.” Wanita ini telah menghadapi tentangan sebegini ketika dia masih remaja. Pada masa itu, dia mula belajar Alkitab dengan para Saksi dan tidak lama kemudian, ingin menukar agamanya. Katanya, “Berkali-kali ibu bapa memberitahu saya mereka sangat marah dan kecewa dengan saya. Hal ini buat saya sangat sakit hati. Saya ingin mereka merestui keputusan saya. . . . Pilihan saya untuk setia kepada Yehuwa, dan bukannya tradisi agama, tidak bermaksud saya mengkhianati keluarga saya.” d

a Lihat majalah The Watchtower terbitan 1 Januari 2002, muka surat 12, perenggan 15.

b Misalnya, sekitar tahun 785 M, Charlemagne mengeluarkan perintah untuk menjatuhkan hukuman mati atas orang di Saxon yang enggan dibaptis sebagai orang Kristian. Selain itu, Perjanjian Augsburg, yang ditandatangani pada 1555 M oleh pihak-pihak yang bertempur di Empayar Suci Rom, menuntut bahawa pemerintah setiap kawasan haruslah beragama Roman Katolik atau Lutheran. Bukan itu sahaja, rakyat jelata juga mesti memeluk agama yang dianuti pemerintah kawasan mereka. Mereka yang tidak berbuat demikian harus berpindah ke kawasan lain.

c Hak-hak sebegini juga termaktub dalam Piagam Afrika tentang Hak Asasi Manusia dan Rakyat (African Charter on Human and Peoples’ Rights), Perisytiharan Amerika tentang Hak dan Kewajiban Manusia (American Declaration of the Rights and Duties of Man), Piagam Arab tentang Hak Asasi Manusia 2004 (2004 Arab Charter on Human Rights), Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN (ASEAN Human Rights Declaration), Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah (European Convention on Human Rights), dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (International Covenant on Civil and Political Rights). Walaupun demikian, negara-negara yang mengakui perjanjian tersebut tidak selalu melaksanakannya.

d Yehuwa ialah nama Tuhan yang benar seperti yang tercatat di dalam Alkitab.