Lompat ke kandungan

Adakah Tuhan Akan Mengampuni Saya?

Adakah Tuhan Akan Mengampuni Saya?

Jawapan Bible

 Ya, Tuhan akan mengampuni dosa anda selagi anda mengambil langkah yang sepatutnya. Bible menyatakan bahawa Tuhan “sedia mengampuni,” “suka mengampuni,” dan Dia “mengampuni . . . dengan rela hati.” (Nehemia 9:​17; Mazmur 86:5; Yesaya 55:7) Apabila Tuhan mengampuni kita, Dia mengampuni kita dengan sepenuhnya. Dosa kita “dihapuskan,” atau dipadamkan sama sekali. (Kisah 3:​19) Tuhan juga mengampuni kita dengan melupakan dosa kita untuk selama-lamanya, kerana Dia mengatakan, “Aku tidak akan mengingat dosa mereka.” (Yeremia 31:34) Setelah Tuhan mengampuni kita, Dia tidak akan mengungkit-ungkit dosa kita demi menghukum kita berulang kali.

 Namun, Tuhan mengampuni kita bukan kerana Dia lemah atau mudah dipengaruhi oleh perasaan. Piawaian-Nya yang sempurna tidak pernah berubah. Sebab itulah ada sesetengah dosa yang tidak akan diampuni oleh Tuhan.​—Yosua 24:19, 20.

Cara untuk mendapat pengampunan daripada Tuhan

  1. Sedar bahawa dosa yang anda lakukan telah melanggar hukum Tuhan. Walaupun orang lain mungkin disakiti akibat perbuatan anda, ingatlah bahawa dosa anda sebenarnya telah menyakiti Tuhan juga.​—Mazmur 51:​1, 4; Kisah 24:16.

  2. Mengakui dosa anda kepada Tuhan melalui doa.​—Mazmur 32:5; 1 Yohanes 1:9.

  3. Berasa amat sedih atas dosa yang telah anda lakukan. “Kesedihan yang selaras dengan kehendak Tuhan” ini menyebabkan seseorang bertaubat lalu mengubah sikapnya. (2 Korintus 7:​10) Bertaubat juga bermaksud anda menyesali haluan salah yang mengakibatkan dosa itu.​—Matius 5:​27, 28.

  4. Buatlah perubahan dan “berpalinglah kepada Tuhan.” (Kisah 3:​19) Anda mungkin perlu berhenti melakukan perkara yang salah, ataupun mengubah haluan hidup anda, termasuk cara berfikir dan bertindak.​—Efesus 4:​23, 24.

  5. Ambillah inisiatif untuk membetulkan apa yang salah atau membaiki kerosakan yang disebabkan oleh kesilapan anda. (Matius 5:​23, 24; 2 Korintus 7:​11) Meminta maaf kepada orang yang disakiti akibat sesuatu yang anda lakukan atau tidak lakukan, dan menggantikan kerugian mereka sebaik mungkin.​—Lukas 19:​7-​10.

  6. Berdoalah kepada Tuhan dan minta pengampunan atas dasar korban tebusan Yesus. (Efesus 1:7) Anda juga mesti mengampuni kesalahan orang lain, barulah Tuhan akan menjawab doa anda dan mengampuni anda.​—Matius 6:​14, 15.

  7. Jika anda telah melakukan dosa yang serius, beritahulah seseorang yang berkelayakan supaya dia dapat menghulurkan bantuan rohani dan berdoa untuk anda.​—Yakobus 5:​14-​16.

Tanggapan yang salah mengenai pengampunan daripada Tuhan

 “Dosa saya terlalu banyak untuk diampuni.”

Tuhan mengampuni Daud atas dosa perzinaan dan pembunuhan yang dilakukannya

 Kita pasti boleh diampuni selagi kita mengikut langkah-langkah yang ditentukan oleh Tuhan dalam Bible. Hal ini kerana kemampuan Tuhan untuk mengampuni kita lebih besar daripada dosa kita. Dia boleh mengampuni dosa, tidak kira dosa yang serius atau yang diulangi berkali-kali.​—Yesaya 1:​18.

 Sebagai contoh, Raja Daud diampuni walaupun dia telah berzina dan membunuh orang. (2 Samuel 12:​7-​13) Rasul Paulus juga diampuni walaupun dia menganggap diri sebagai pendosa yang paling teruk di dunia. (1 Timotius 1:​15, 16) Bahkan dosa sesetengah orang Yahudi pada abad pertama yang terlibat dalam pembunuhan Yesus, iaitu Mesias yang dijanjikan, juga boleh diampunkan jika mereka bertaubat.​—Kisah 3:​15, 19.

 “Jika saya mengaku dosa kepada pastor atau pemimpin agama, saya sudah dibebaskan daripada dosa.”

 Tiada manusia yang diberi kuasa oleh Tuhan untuk mengampuni seseorang yang telah berdosa kepada Tuhan pada hari ini. Walaupun seorang pendosa dapat berasa lebih lega dengan mengakui dosanya kepada orang lain, namun hanya Tuhanlah yang layak mengampuni dosa.​—Efesus 4:​32; 1 Yohanes 1:​7, 9.

 Jika begitu, apakah maksud kata-kata Yesus kepada para rasul, “Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, dosanya pun diampunkan, tetapi sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, dosanya pun tidak diampunkan”? (Yohanes 20:23) Yesus sedang merujuk kepada kuasa istimewa yang diberi kepada para rasul apabila mereka menerima kuasa suci.​—Yohanes 20:22.

 Seperti yang dijanjikan oleh Yesus, para rasul telah menerima kuasa istimewa ini apabila mereka dipenuhi dengan kuasa suci pada tahun 33 M. (Kisah 2:​1-4) Rasul Petrus juga telah menggunakan kuasa ini semasa menghakimi Ananias dan Safira. Melalui kuasa ini, Petrus dapat mengetahui bahawa mereka telah berdusta, dan hukuman yang dijatuhkan ke atas mereka menunjukkan bahawa dosa mereka tidak diampuni.​—Kisah 5:​1-​11.

 Sepertimana kurniaan untuk menyembuhkan orang secara mukjizat dan bercakap dalam bahasa-bahasa lain telah lenyap setelah kematian para rasul, begitu juga dengan kurniaan untuk mengampuni dosa. (1 Korintus 13:​8-​10) Jadi, tiada manusia yang boleh membebaskan orang lain daripada dosa pada hari ini.