Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BIBLE MENGUBAH HIDUP

Yehuwa Tidak Pernah Melupakan Saya

Yehuwa Tidak Pernah Melupakan Saya
  • TAHUN LAHIR: 1922

  • NEGARA ASAL: SEPANYOL

  • SEJARAH: KATEGIS (Guru agama Katolik)

MASA LALU SAYA:

Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana di Bilbao, utara Sepanyol. Saya anak kedua daripada empat adik-beradik. Keluarga kami berpegang kuat pada agama Katolik, dan saya menghadiri Misa Katolik setiap hari. Semasa berumur 23 tahun, cita-cita saya untuk menjadi seorang guru tercapai dan saya telah mengajar selama 40 tahun. Selain daripada mengajar di sekolah, saya juga berbangga untuk mengajar agama Katolik, dan melayani sebagai seorang Kategis pada waktu malam untuk mengajar budak-budak perempuan perjamuan suci yang pertama.

Saya menjadi janda selepas menikmati perkahwinan yang bahagia selama 12 tahun, dan terpaksa menjaga empat orang anak perempuan. Ketika itu, saya hanya berumur 33 tahun! Saya cuba mencari kelegaan daripada agama Katolik, tetapi terdapat persoalan yang sering bermain dalam fikiran. Saya tertanya-tanya, “Mengapakah manusia perlu mati sedangkan Yesus telah menebus dosa kita? Jika orang baik pergi ke syurga, mengapakah kita berdoa agar Kerajaan Tuhan datang?” Yang paling penting, “Jika kita dihakimi oleh Tuhan selepas mati, mengapakah kita perlu meninggalkan syurga atau neraka untuk penghakiman terakhir?”

Saya tanyakan beberapa orang paderi mengenai soalan-soalan itu. Seorang paderi kata,“Saya tidak tahu. Tanyalah uskup. Adakah hal ini penting? Kamu percaya pada Tuhan, bukan? Jadi, biarkan sahaja!” Tetapi saya tetap mencari jawapannya. Kemudian, saya menghadiri ceramah Jesuit, Pentakosta, dan Gnostik. Namun, tiada seorang pun dapat memberi jawapan yang memuaskan.

BAGAIMANAKAH BIBLE MENGUBAH HIDUP SAYA:

Sewaktu berusia dalam lingkungan 60-an, seorang murid yang berumur tujuh tahun menjemput saya menghadiri perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya suka apa yang saya lihat dan dengar semasa perjumpaan, namun kehidupan yang sibuk menyebabkan saya tidak lagi berhubung dengan Saksi-Saksi. Dua tahun kemudian, sepasang suami isteri Saksi-Saksi Yehuwa yang bernama Juan dan Maite telah mengetuk pintu rumah saya. Selama tiga bulan, kami mengadakan sesi soal jawab yang mendalam, dan akhirnya saya mula belajar Bible.

Saya menanti-nantikan setiap sesi pembelajaran! Saya mengkaji semuanya secara teliti dengan menggunakan tiga terjemahan Bible yang berbeza untuk memastikan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa mengajarkan kebenaran. Tidak lama kemudian, saya menyedari bahawa saya telah dikelirukan secara rohani selama puluhan tahun. Saya berasa terganggu kerana terdapat perbezaan yang ketara antara kepercayaan lama saya dan apa yang saya belajar daripada Bible. Saya berasa sangat lega kerana dapat dibebaskan daripada kepercayaan lama.

Saya telah menemui suatu harta

Kemudian, suami saya yang kedua meninggal akibat penyakit yang serius. Pada masa yang sama, saya bersara dan meninggalkan Bilbao buat seketika. Juan dan Maite juga berpindah. Saya menyesal kerana telah berhenti belajar Bible. Namun, jauh di lubuk hati, saya tahu bahawa saya telah menemui suatu harta yang tidak akan saya lupakan.

Selepas 20 tahun, semasa saya berumur 82, Juan dan Maite kembali ke Bilbao dan melawat saya. Saya sangat gembira dapat berjumpa dengan mereka semula! Saya sedar bahawa Yehuwa tidak pernah melupakan saya, dan saya menyambung semula pembelajaran Bible. Juan dan Maite sangat sabar walaupun saya berulang kali menanyakan soalan yang sama. Saya perlu terus mendengar perbincangan Bible agar dapat menyingkirkan kepercayaan yang lama. Saya juga ingin bersedia untuk menjelaskan kebenaran Bible dengan baik kepada sahabat dan keluarga saya.

Hari yang paling bahagia dalam hidup saya adalah sewaktu dibaptis pada umur 87. Pembaptisan itu diadakan semasa perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa. Seorang penatua Kristian menyampaikan ceramah berdasarkan Bible yang ditujukan khas kepada calon pembaptisan. Ceramah itu membuat saya sangat terharu sehingga menitiskan air mata. Saya mendengar ceramah itu seolah-olah Yehuwa sedang bercakap dengan saya. Selepas dibaptis, ramai Saksi datang dan mengucapkan tahniah walaupun saya tidak mengenali mereka!

MANFAAT YANG SAYA TERIMA:

Selama ini saya tahu bahawa Yesus Kristus adalah “jalan” untuk mengenal Tuhan. (Yoh. 14:6) Tetapi pembelajaran Bible membantu saya sedar bahawa kita hanya dapat mengenal Yehuwa melalui Yesus. Sekarang, saya dapat berdoa kepada Tuhan seperti sedang bercakap kepada Bapa dan Sahabat yang dikasihi. Hidup saya berubah setelah membaca buku “Mendekatlah kepada Yehuwa” (Draw Close to Jehovah). a Saya membaca seluruh buku itu dalam satu malam sahaja! Saya sangat tersentuh kerana mempelajari bahawa Yehuwa sangat berbelas kasihan.

Semasa mengenang kembali perjalanan hidup saya dalam mencari kebenaran, saya teringat kata-kata Yesus, ‘Mintalah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Tuhan, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Tuhan akan membukanya bagi kamu.’ (Matius 7:7, ABB) Saya telah menemui jawapan yang saya cari selama ini dan saya berasa bangga untuk kongsikan dengan orang lain.

Walaupun berumur 90 tahun, saya masih perlu belajar banyak lagi tentang Yehuwa. Setiap perjumpaan yang saya hadiri sangat istimewa, kerana saya menerima pengetahuan yang berharga dan pergaulan dengan saudara saudari yang dikasihi. Saya ingin sekali menjadi seorang guru di bumi Firdaus. (Wahyu. 21:3, 4) Saya menanti-nantikan saat untuk berjumpa semula dengan orang yang saya kasihi semasa pembangkitan dan mengajar mereka tentang kebenaran Bible. (Kisah 24:15) Saya tidak sabar untuk menjelaskan kepada mereka tentang hadiah bernilai ini yang Yehuwa berikan kepada saya walaupun saya sudah begitu tua!

a Diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.